بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Pertama sekali, terima kasih kepada para ‘Likers’ yang berminat untuk mengetahui bagaimana cara saya menjana keuntungan berjumlah ratusan ribu ringgit, dengan hanya bermodalkan RM15K.
- Untuk makluman, saya tiada buku untuk dijual, tiada ebook untuk dijual dan tiada juga kelas latihan untuk dijual. Jadi perkongsian ini dibuat tanpa ada kepentingan tersebut, sekadar berkongsi dan berharap ada orang yang akan mendapat manfaat.
- Sudah pasti ramai yang skeptical dan ramai juga yang cuba menekan financial calculator untuk mengetahui bagaimana RM15K boleh menjadi ratusan ribu ringgit. Saya hanya mengambil masa dalam 2-3 tahun dan ia tetap berterusan sehingga kini. Percayalah, untuk mendapat ratusan ribu ringgit dalam masa yang singkat tidaklah sesukar mana.
- Melalui Property Investment dengan modal RM15K (ataupun tanpa modal) pada tahun 2008/9, beli rumah under-construction berharga RM150K dan menjual kembali selepas 3 tahun dengan harga RM250K. Ya anda memperolehi keuntungan sebanyak RM100K.
- Anda beli 2 rumah serentak (tanpa modal – pakej ditawarkan developer), maka selepas 3 tahun anda sudah mempunyai RM200K. Ini semua adalah basic knowledge bagi Property Investor. Strategi ini masih lagi relevan sehingga kini tahun 2015. Cuma anda perlu lebih bijak memilih property yang hendak dibeli.
Untuk menjadi lebih bijak, baca ni: http://www.wandomme.com/2011/09/zaman-flip-flop-sudah-berlalu-wakifs-blog.html
Nota: Saya membeli 2 unit property under-construction pada tahun 2015. InsyaAllah RM200K keuntungan selepas 3 tahun.
Tapi ini bukan points yang ingin saya kongsikan. Berikut adalah cerita yang saya ingin kongsikan yang saya rasa ia memberi IMPAK MAKSIMA dalam hidup saya.
- Semasa kecil (seingat saya ketika masih disekolah rendah pada tahun 80-an) saya mempunyai impian untuk menghantar Mek dan We menunaikan Haji di Mekah. Saya tidak tahu apa yang mendorong saya mempunyai impian tersebut, mungkin kehidupan kami sekeluarga yang sangat susah ketika itu.
- Untuk rekod, saya adalah anak ke-2 dalam 9 orang adik beradik se-Ibu dan se-Ayah, dan 7 orang lagi abang/kakak berlainan Ibu/Ayah. Walaubagaimanapun saya anggap diri saya sebagai anak sulong dalam keluarga saya 9 orang adik beradik.
- Impian saya untuk menghantar Mek dan We menunaikan Haji di Mekah tercapai pada tahun 2008 iaitu lebih kurang 20 tahun kemudian. Sebenarnya hanya separuh daripada impian saya saja yang tecapai kerana pada ketika itu saya hanya mampu menghantar We seorang sahaja.
- Kos menunaikan Haji pada tahun tersebut adalah RM15K seorang (melalui pakej, termasuk kos-kos lain yang berkaitan). Hanya itu saja (RM15K) yang saya ada pada ketika itu, simpanan saya adalah ‘sifar’, kadang-kadang terpaksa pinjam duit tabung anak. Walaupun dalam hati kecil berharap ada orang lain yang sanggup membuat tambahan supaya Mek dapat turut serta. Ia tidak menjadi kenyataan.
- Pada waktu tersebut, hanya saya seorang yang bekerja (+ seorang adik yang baru bekerja), dan masih mempunyai 5 orang adik yang masih belajar di Universiti/Sekolah.
- Oleh sebab itu, pemergian Mek ke Mekah ‘terpaksa’ ditangguhkan buat sementara waktu. InsyaAllah dalam masa terdekat.
- Maka berangkatlah We saya seorang pergi menunaikan Haji di Tanah Suci Mekah pada tanggal 23/11/2008. Meninggalkan saya yang mempunyai simpanan ‘sifar’.
Sebagai rekod: http://www.wandomme.com/2008/11/one-of-my-dream-comes-true.html
- Selang 2 bulan kemudian iaitu pada Januari 2009, saya mula membeli rumah pelaburan yang pertama di Shah Alam, dan seterusnya rumah ke-2 di Ampang pada bulan May 2009.
- Ini diikuti dengan rumah ke-3, ke-4, ke-5 dan seterusnya. Ia seperti amat mudah bagi saya, semuanya berjalan lancar sehinggalah ia mencecah angka 18 sekarang ini. Rumah yang ke-19 masih lagi dalam proses permohonan pinjaman.
- Jujurnya, saya tidak sedar atau perasaan bagaimana saya dapat membeli rumah-rumah tersebut, bermula pada 2009 dengan jumlah simpanan ‘sifar’. Pembelian rumah-rumah seterusnya juga berjalan dengan agak mudah.
- Ini kerana pada tahun 2009, dalam fikiran saya untuk mempunyai 5 buah rumah pelaburan pun adalah sesuatu yang agak tak masuk akal (dengan keadaan kewangan dan tanggungan pada masa itu). Tapi sekarang untuk mendapat 50 buah rumah sekalipun, ia bukan perkara mustahil.
- Saya mula berfikir dan membuat self-reflection, selepas tahun 2008 (Selepas We mengerjakan Haji), rezeki datang mencurah-curah tanpa saya sedari, berikut adalah contoh rezeki yang saya dapat berjumlah ratusan ribu ringgit setiap tahun. Maaf, tiada niat untuk menunjuk-nunjuk.
Ini hanya sekadar contoh ‘rezeki’ dari sudut material (kerja makan gaji sahaja), tidak termasuk ‘rezeki’ dari sumber/bentuk yang lain seperti kesihatan, anak-anak dan sebagainya.
- Firman Allah dalam Surah Al-Baqara, Verse 261:
مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ وَاللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ
Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya
- Dan Firman Allah dalam Surah Al-Baqara, Verse 245:
مَّن ذَا الَّذِي يُقْرِضُ اللَّهَ قَرْضًا حَسَنًا فَيُضَاعِفَهُ لَهُ أَضْعَافًا كَثِيرَةً وَاللَّهُ يَقْبِضُ وَيَبْسُطُ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ
Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan
- Saya dapat rasakan wang pelaburan saya sebanyak RM15K telah mendatangkan keuntungan ratusan ribu ringgit, malah jauh lebih tinggi daripada itu – tak terhitung jumlah rezeki yang saya terima.
- Saya mendapat ilham untuk berkongsi cerita ini sempena genap sebulan (5/11/2015 – 5/12/2015) Arwah We pergi meninggalkan kami semua. Tarikh yang tak mungkin saya dapat lupakan kerana ia sehari sebelum umur saya 37 tahun.
P.S. : Bagi yang berkelapangan, mohon sedekahkan Al-Fatihah kepada Arwah We saya iaitu Wan Mamat Bin Wan Ismail (1934-2015). Al-Fatihah.